Friday, 30 April 2010

Biskut timbang

Tahun 1980-an

Dapat basikal baru. Basikal lama dah lama hilang kena curik budak rumah belakang (mak kita saspek, sebab geng dia orang lalu lalang lalu lalang 20 kali sebelum basikal tu hilang, tuduhan melulu tanpa bukti, tapi takpe lah, bukan buat repot polis pun... cakap² belakang je).

Syok. Pusing² dengan basikal sampai mabuk. Kalau boleh dari gate depan nak ke dapur mintak horlicks pun nak pakai basikal.

Tapi lama² bosan jugak kan. Nak cari cabaran baru. Buat² lapor. Buat² makanan kat rumah semua tak menyelerakan. Buat² naaaakkk sangat makan biskut timbang jam² tu jugak. Mula² mak we tak kasi, lama² sukati kau lah, kena kejor anjing tanggung sendiri - maka kita pun gohet gi kedai naik basikal. Senyum². Suka.

Tiba kedai, apek junior yang incas. Umur dia belas² tahun, mungkin dalam sepuluh tahun lagi tua dari kita masa tu. Dia tanya nak apa? Biskut tu, kita tunjuk. Berapa banyak? Setengah gram, kita kata. Masa tu baru belajar gram-kilogram-sentimeter-meter-kilometer kat sekolah. Apek junior pandang dengan meluat. Setengah kilo? Setengah gram, kita kata lagi. Bodoh la apek ni. Orang dah belajor kat sekolah tau.

SETENGAH KILO LAAA! Dia kata sambil cedok biskut masuk dalam plastik. Kita diam je. Apa² lah, pek.

Dalam perjalanan balik rumah kita pun pikir², salah ke aku cakap tadi? Setengah gram = 500 kilogram la kan? Bodoh la apek muda tu. Benci. Nasib baik dapat round² naik basikal hari ni.




Thursday, 29 April 2010

Pakcik Salikin

Gerai Mohd Salikin (atau Solehin, gitu²lah bunyinya)
No 14, Hentian Sebelah Serdang, PLUS arah selatan

Saya paling suka Pakcik Salikin punya kari melayu yang 'lembut' rasa rempah dan lemaknya (as opposed to kari mamak yang lagi pekat dan ganas). Di gerai ni ada macam² lagi lauk campur - masak lemak, sup, ikan goreng, sayur² untuk makan tengahari. Ada tempat makan di bahagian belakang. Banyak juga lori berhenti kat sini. Lauk baru akan tiba lebih kurang 5.30+ atau 6 petang. Dia orang juga jual lempeng kelapa (petang, tengahari tak tau).

Dan di gerai no 16 ada air sirap bandung jeli, nyummm

Wednesday, 28 April 2010

Hantu durian


Malam.

Seorang kawan, di kampung, makan durian di 'dapur belakang' rumah atoknya yang tidak berdinding (orang sekarang kata wet kitchen). Makan punya makan, sekali toleh ke luar ada satu makhluk sedang perhatikan dia.

Badan kurus macam galah, rambut mengerbang macam sang kelembai, mata lompong.

Bila dipandang makhluk itu jadi makin tinggi dan makin tinggi dan makin tinggi.

Kawan itu pun apa lagi, cepat² habiskan durian lagi 2 ulas dan cabut masuk ke dalam.

Gambar jemput² durian yang tak berapa ada kena mengena, tapi boleh la




ps: benda itu, dalam kepercayaan masyarakat Melayu, dipanggil hantu galah


Tuesday, 27 April 2010

Pisang salai

Siapa suka buang² anak kat depan surau/mesjid/tong sampah/dalam jamban,
atau siapa yang suka cucuh/tempeleng/terajang/banting anak kat dinding sampai jadi cacat/sayur/mati,
kita salai je

Sunday, 25 April 2010

Kuih seri muka

Sekarang kuih macam ni pun dah ada jual kat stesyen minyak, ok!

Saturday, 24 April 2010

Friday, 23 April 2010

Bacalah

Pada satu hujung minggu.

Saya bawa 2 orang budak kecik ke kubur. Kubur atok dan nenek mereka. Lepas baca fatihah, berdoa lebih kurang, dua² berjalan diam² di kawasan sekitar. Saya perhatikan dari tepi kubur mak bapak mentua saya.

Tiba² si kecik membongkok, lambai² si besar. Si besar datang. Dua² membongkok. "Kih kih kih". Bisik² bisik². "Kih kih kih kih kih," perlahan, cuba sorok², tapi jelas - dah la kubur pun memang senyap sunyi kan. Ehh, nak kena budak dua ekor ni.

"Chik! Chik!" Dia orang bisik² (konon la bisik) panggil saya. Suruh saya baca nesan pada satu kubur. Saya pergi baca. Saya kulum senyum dan simpan ketawa dalam hati. "Berdosa, eh? Sedekahkan fatihah kat makcik tu." Dua² terkulat² senyum² baca fatihah untuk makcik Kariah binti Kentut, yang telah meninggal tahun 1985. [Maafkan kami, makcik. Semoga roh makcik dicucuri rahmat.]

Lepas tu kita orang pergi minum cendol dan abc kat kedai Pak O.

*Diari Mat Despatch oleh Baharuddin Bekri boleh dibeli di BookCafe
** Dan sempena Hari Buku hari ni, jenguk²lah kedai buku online pada link di sebelah kanan

*** Adab² menziarahi kubur boleh dibaca di sini

Restoran Aroma

Restoran Aroma
Jalan Jati, Pantai Jeram
Kuala Selangor

Dari arah Kuala Selangor - jalan terus sampai nampak stesyen minyak dan balai polis di sebelah kiri. Kemudian ada trafik light, belok kanan. Ikut papan tanda dari situ untuk belok ke Jalan Jati di belah kiri. Dari arah Klang - err, saya tak tahu apa landmark-nya, kalau dah nampak balai polis sebelah kanan, u-turn lah. Hehe. (Adakah saya sorang yang sibuk ambik directions macam ni, manakala orang lain semua dah ada gps sorang satu? Huhhh, pergi la korang baca koordinat tu... menyampah :p).

Tip ke kedai ikan bakar: jangan pergi pukul 8-9 pada malam minggu kalau perut tengah lapar

Kesilapan besar pertama kami adalah tiba di sana pukul 8.15 malam. Kesilapan besar kedua ialah tak telefon untuk book meja dan order makanan. Tempat ni PENNNUHHH ok. Ramai orang berdiri² tercangak² tak dapat meja. Plus side adalah waiter dia membantulah jugak tapi tak banyak benda dia boleh buat kalau memang takde meja kosong kan. Tunggu lah orang lain sudah makan.

Tiba² ternampak pondok bawah pokok kelapa ni... kosong! Jadi kita orang pun serbu. Tapi. Tikar dia lembab sebab petang tu hujan. Patutlah takde orang nak duduk. Hehe. Oleh kerana semua orang dah hampir kebelai, basah tak basah, duduk je lah kat situ.

Siakap 3 rasa

Kailan ikan masin

Sambal asam dan sambal kicap - yang kicap adalah lebih menendang

Ikan caru bakar - ada rasa yang saya suka tapi tak tahu rasa apa

Ikan pari bakar - ada rasa yang saya suka tapi tak tahu rasa apa

Sotong goreng tepung - ada rasa yang saya suka tapi tak tahu rasa apa
(Hehehe, senang betul buat review macam gini)

Order diambil lebih kurang 8.30. Order tiba lebih kurang 9.30. Kita orang tak komplen, sebab pelanggan terlalu ramai, dapat makan dah cukup bagus. Kami order jugak ketam masak cili pedas dan butter prawn. Tapi tak dapat. Tukang masak terlupa buat agaknya. Maka dari RM 180, bil kami tinggal RM90 untuk 5 orang dewasa.

Saya rasa saya sanggup pergi lagi (sedap, derr)... tapi mungkin lepas asar terus gerak dari KL.

TEMPAT TERHAD! SILA DATANG CEPAT!!

Update koordinat:
E 101 degree 18' 19.3"
N 03 degree 13' 26.8"

Thursday, 22 April 2010

Wednesday, 21 April 2010

Jajan sentral

Meja saya di pejabat boleh juga dikenali sebagai Jajan Sentral. Ada je lah coklat, gula², beskot itu, beskot ini, air kotak, sos, asam keping, daun ketumbar... Maka secara automatik sesiapa yang rasa nak mengunyah akan singgah mintak jajan barang sebiji-dua. Kadang² kapur je masa saya tak ada.

Di satu pagi, seorang gedebe yang buat kerja lebih masa pada sebelah malamnya datang tergopoh-gapah macam nak menyerang.

"Izat (bukan nama sebenar), gula² apa kau simpan kat meja kau?"

"Macam² ada," saya jawab bangga.

"Waaa, aku makan semalam meletup dalam mulut aku."

"Yang mana?"

"Gula² oren tu -- "

Yang ini...

... bukan gula², ini vitamin!

Aduhh bear, meh ambo ghoyak lagu mano nak make hok ni. Cara makannya, ambik air masak 1 gelas, cempak benda ni sebijik, nanti dia akan sizzle dan jadi (macam) air oren, MINUM. Bukan cempak sebijik masuk mulut! OK? Dah, takyah kecoh² lagi. Gi buat air kopi.



effervescent [ˌɛfəˈvɛsənt] :
adj
1. (Chemistry) (of a liquid) giving off bubbles of gas; bubbling
2. high-spirited; vivacious
effervescence n
effervescently adv


Tuesday, 20 April 2010

1982-2010

"Mi sedap, tapi takde telur... kedekut," Norlia Ramli mengata Dharma dalam Sikit Punya Gila (1982)
Mi goreng 2 + air masak 2 = RM 1.80 = mi sepinggan 90 sen, sebab air kosong zaman tu percuma

Kuetiau goreng di Foodcourt Chow, The Weld, Jalan Raja Chulan - RM6 (2010)
Belum campur air... air mineral RM1.50 1 botol

Kenaikan lebih 5 kali ganda dalam masa 28 tahun
Berat badan pulak, naik berapa? Hehe :)

Monday, 19 April 2010

Jengkuan

Jengkuan
Jalan Syahbandar, Batu Pahat

Tak tahu kenapa tak boleh bukak
Kalau dibukak tingkap ni boleh tengok terus ke Sungai Batu Pahat, dia takut orang terjun ke agaknya?

Mi hailam

Mi hun hailam

Ada juga sate, nasi ayam, nasi ayam goreng, nasi goreng kampung, bla bla - ada gambar tapi tertinggal nak edit jadi lain kali je lah cerita, heh. Pada tahun 80-an restoran ni adalah gilang gemilang tapi saya tengok sekarang macam malu² je nak hidup. Tapi itu pun taklah sampai kosong takde pelanggan. Antara tempat makan yang dekat di hati orang² Batu Pahat.

Friday, 16 April 2010

Teka apa

Eheheheheh... ada siapa² boleh teka apa bendanya ni?
Clue: Beattey

Dari sudut yang lebih mengerikan

Keratan rentas

Gambar ni ada yang dah di-leak-kan pada beberapa individu dan saya mendapat kecaman hebat dari mereka. Malah ada anasir luar (awak tau la awak siapa kan, doktor singa kan... ehh) yang beberapa kali memeras ugut akan membocorkannya pada umum. Jadi sebelum orang lain buat dajal, lebih baik kita ngaku sendiri kan? Walaupun ia amat malu-fying. Saya mengaku. Bahawa objek di atas. Adalah. (Telan air liur jap). Murtabak Raja Singapura.

Gambar murtabak raja singapura yang tulen ada di sini (siap ada trademark tu). Dan boleh beli murtabak raja singapura yang tak rupa macam telur dadar di sini.

Eleh. Korang gelak la. Laki aku makan abis jugak tauuu :p

Thursday, 15 April 2010

Abang Mat Kuetiau

Abang Mat tekun memasak

Abang Mat perlu latihan mengeja [keoyteow?] dengan sukukata yang betul

Apa pun, masakan dia sedap. Tak payah nak tambah² telur pun dah cukup mantap. Gerai Abang Mat terletak di pusat usahawan mini (eh mini ke mikro?) Majlis Perbandaran Kajang, di tepi Jalan Wan Siew, Sungai Chua, Kajang - menghala ke Seksyen 7 Bangi.

Wednesday, 14 April 2010

Tuesday, 13 April 2010

Jagung

Dulu² masa Johor masih timur dan cuti Jumaat-Sabtu, mak saya pergi pasar tiap² pagi Jumaat. Dan antara belian wajib dia adalah mana² ahli keluarga putu [putu piring/putu bambu/putu mayam] [[bukan Kak Putu]], apam balik dan jagung rebus. Wahaaa... syoknya makan jagung rebus masa tu. Saiz kecik² je, dalam sejengkal. Selonggok entah berapa sen agaknya.

Zaman sekarang jagung rebus panjang setengah kaki

Makan kena hati²

Takut jadi macam Yusni!

Monday, 12 April 2010

Ikan bakar Jalan Bellamy

Gerai Sri Menanti
Jalan Bellamy (belakang Istana Negara)
-Dari Jalan Bukit Petaling, belok kiri, teruuuuss sampai hujung, belok kanan

Siakap 3 rasa - gambar blur sebab banyak asap
Tak sempat tunggu asap hilang pun dah kena ronggeh tu ha

Ikan pari bakar
- yang sebenar²nya bukan bakar tapi "goreng" atas tempat bakar begel tu

Sambal udang - ooo la la!

Zaman pesta muda mudi dulu, selalu jugak datang sini. Lepas tu tak dah. Tiba² hari tu terasa nak pergi lagi, maka semua orang telah diheret ke mari... dan barulah saya ingat kenapa dah lama saya tak pergi ke situ. Ada bau longkang. Di kala angin bertiup sepoi² bahasa, ada la sikit bau naik. Maka kalau nak pegi pastikan duduk bawah kipas angin atau cepat² order makanan supaya bau tu dikaburi oleh bau² yang lebih enak dan lazat.

Friday, 9 April 2010

Jumaat

Di satu tempat yang indah, beriani adalah satu kemestian pada setiap hari Jumaat
Sayangnya, saya bukan sebahagian dari keindahan itu
(Dapat lah merasa sekali sebab kawan tapaukan, heh)

Thursday, 8 April 2010

Perasmian

Perasmian periuk dari Ah Poh- dah tak ingat pun dia beri bila dan untuk apa-
serta senduk dari seorang kawan yang entah bila la nak ajak kita makan kat rumah dia ;)

Kita makan sayur (walaupun cuma carrot 5 hiris)!

Wednesday, 7 April 2010

Kuetiau sup

Sebenarnya kan, ikut bahasa Melayu yang betul - kuetiau sup ke sup kuetiau?
Kalau mi hun orang sebut sup kemudian, kalau ayam orang sebut sup dulu - mana yang betul?

Saturday, 3 April 2010

Restoran pencen

Asam pedas!!
Tapi tak pernah bukak... dah pencen ke, Pak Lang?

Friday, 2 April 2010

Hidup ini mesti berlesen

Gambar dari Filem Kita

- Cik Siti mau beli apa?
+ Saya mau beli belacan.
- Bela--? Shhh! Jangan cakap kuat², nanti polis tangkap sama saya.
+ Jual belacan pun polis tangkap?
- Benar, Cik Siti. Jual candu ada lesen. Berjudi ada lesen. Ceramah ugama mesti pakai lesen. Minum arak boleh ampun. Jual ganja ada lesen. Tetapi jual belacan tak ada lesen... saya smuggle dari Malaya!

Salam hari Jumaat. Semoga bumi kita ini sentiasa di bawah peliharaan tuhan.

[Yahu! Yahu! Besok cuti!! - sambil lonjat²]

Thursday, 1 April 2010

Kurang asem

Kurang asem 1 - kamera rosak
Kurang asem 1b - apek tak nak betulkan, dia suruh beli baru... jumjumatun dia, ingat patposen ke?

Kurang asem 2 - laptop rosak... dah betulkan, reformat
Kurang asem 2b - foto yilek
Kurang asem 2c - fotoshop yilek

Lagu mana nak update blog?