Wednesday, 31 March 2010

Kantin padang golf UPM

Kantin padang golf UPM
UPM, Serdang

Roti canai kambing, hihihi, kita excited gila

Kari kambing dia yang pekat lazat berkrim - A

Roti telur - A

Nasi goreng cina - A

Telur mata lembu 'kuning goyang'

Nasi lemak... tapi sambal dia gagal

Ikan bakar pun ada! - A untuk ikan, C untuk sos cili dalam piring

Kantin ni patutnya untuk orang yang main golf lah, tapi takde pulak dia ambik nama, kalau tak main golf kat situ tak boleh makan, kan. Pagi² ada sarapan nasi lemak, nasi goreng, roti canai dan lain². Mid-morning, dalam pukul 10+ kantin ni lengang sekejap sebab semua orang tengah dok kat padang. Dan lebih kurang time² tu jugak ikan bakar dia keluar. Wowweee. Boleh selalu pergi lagi :)

Monday, 29 March 2010

Kopi stesen

Sarapan di mana?

Semua orang panggil Kluang Rail Coffee tapi saya rasa tak best dan macam dah di-KL-kan sangat, sebab sebelum dia famous yang semua orang kenal dulu, kita orang panggil kopi stesen je. Cari stesen keretapi Kluang, ia ada di situ. Yang tak ada mungkin parking kereta sebab tempat tu sempiiitt.

Sejak 1938... kedainya lah, bukan budak ni

Kalau tanda biru melintang lain, biru tegak lain, lagi satu tak ingat tandanya apa, untuk:

Mi gemok

Mi siam (orang siam takde yang gemok agaknya ek)

Atau nasi lemak

Macam biasa, kena ada telur 3/4 masak

Tiba² teringat plaster siling
Tip bahasa Melayu hari ini: Eh kawan², bukan syiling ok, syiling tu duit sen², - siling, siling

Bun bakar

Ohhh, sedap, tak kedekut butter dengan kaya

Kopi untuk bawak balik

Eh. Sampai sudah takde gambor air kopi? Haha. Tapi kan, saya lagi suka kopi kat sini berbanding dengan kopi kat Kluang Rail The Curve, ngada² ek. Tekak orang kampung kot (tetiba plak pagi ni membenci semua benda yang dah di-KL-kan). Dalam skala pahit, kopi stesen ni berada di tangga teratas diikuti oleh kopi tivi dan 434.

Kluang Rail di stesen keretapi Kluang berehat antara pukul 12 hingga 2.30 petang dan tutup setiap hari Khamis

Friday, 26 March 2010

Ikan bakar Parameswara

Pantai yang permai - cuma airnya tak berapa nak jernih

Tiba je dia orang akan tanya, nak buah? Kalau nak sihat, mulakan santapan dengan buah, tak salah.
Kalau kedekut, tak payah ambik sebab sepiring ni adalah $4.

Nasi lemak

Sambal ngam² pedas dan manis, saya suka

Butter prawn dan jari gemok mungil (isk, nak tergelak tulis perkataan ni) seorang budak yang lapor
Ingatkan butter prawn mesti ada telur carik² tu, tapi takde, tapi masih sedap juga

Sotong goreng tepung jarang² - letak nama jarang² sebab boleh nampak pinggan
Memang order sikit je... tepungnya ok, sotongnya liat
Eh, benda² yang dikatakan fresh naik dari laut boleh liat ye? Mesti anak sotong degil kita orang dapat ni

Ikan caru bakar - saja mintak bakar kosong tak bersambal - seddaaaappp
Tak dapat dipastikan sama ada ikan ni memang betul² segar dan sedap atau orang ni pandai bakar?

Sambal asam dan sambal kicap saya bagi A

Basuh tekak dengan air kelapa
Tengok, kita orang dapat nombor giliran ke-2, hehe, semangat tolong bukak kedai

Ini bukan aktiviti makan besar, ia lebih menjurus kepada JJTT - jalan² try test
Jumlah semuanya $42.40 ringgit Malaysia, tunai

Saya rasa suka la pergi kedai ni sebab selain dari ikan bakar dan sambal dia yang sedap,
semua pekerja nampak rajin dan bersungguh², macam brader ni gigih menggilap kerusi

Hidup memang kena ada wawasan, derr (tak alih²)

Ikan Bakar Parameswara
Pengkalan Sungai Besar, Pernu, Umbai, Melaka
- tak tahu sebenarnya ni kampung Pernu ke kampung Umbai, sukati dia lah



Untuk orang² yang tak mesra-gps/garmin (whatever that is):

Kalau dari tol Air Keroh, jalan teruuus sampai jumpa papan tanda ke Muor/Johor. Ikut jalan tu. Bila tiba hujuuunng sekali ada simpang tiga, belok kiri masuk Lebuh AMJ (dulu saya ingat AMJ tu Antara-Melaka-Johor, kah kah) yang membawa maksud Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin. Timbul rasa tak puas hati di situ sebab rasanya jalan tu bermula dari Muor, apasal lak Muor tak dapat nama?

OK. Berbalik kepada persoalan pokok tadi - dari Lebuh AMJ, di satu trafik light, ada signboard besar tulis UMBAI. Belok kanan. Sila perhatikan betul² kalau tak, jauuuuhhh ke depan baru ada tempat nak u-turn. Mungkin dalam 10 minit dari situ adalah papan tanda tempat² makan ikan bakar ni. [Terima kasih kerajaan Melaka, lagi 7 langkah nak tiba baru letak signboard, kat depan tol tadi tak payah letak]. Mungkin ada jalan lain yang lagi senang, sila tanya orang² yang lebih arif, contohnya Cik Lya.

Di jalan yang sama jugalah letaknya kampung² ikan bakar lain yang famous seperti Alai dan Serkam. Lain kali pulak pergi. Letih la sesat barat ni.

Update koordinat (sebab kita orang dah ada gps, yahu!:
E 102 degree 20' 10.5"
N 02 degree 9' 21.9"

Thursday, 25 March 2010

Turi

Sayugia tersebut kisah di zaman dahulu kala, seorang tuan puteri pucuk kelompang dara pingitan teringin benar hendak makan sayur turi masak lemak. Kalau dilawankan dengan ayam goreng rangup berempah dan sambal belacan, nescaya dia rasa seperti berada di alam kayangan. Maka dia pun merengek² kepada emaknya (yang tatkala itu masih hidup dan bernyawa) umpama si Pekan minta telur tembakul.

Mungkin kerana si emak sayangkan anak, mungkin kerana sudah ada 'rese' lima belas [ralat] sepuluh tahun kemudian dia akan pergi meninggalkan dunia fana ini dan takkan ada sesiapa masakkan sayur turi masak lemak untuk anaknya lagi, si emak mengalah. Disuruh dara pingitannya mencari daun turi di bukit belakang rumah.

Hatta terjadilah adegan laung-melaung antara dua beranak itu.

Pingit : Tak ada la maaakkkk.
Emak : Ada.
Pingit : Tak adaaaa...!
Emak : Ko ni merapek je. Baru aku tengok semalam ada.
Pingit : Betul, tak ada.
Emak : Mana ko carik?
Pingit : Bawah pokok pisang ni haa, sebelah pandan, takde pun?

Tidaklah kuketahui pokok turi itu besar, bercambah dan berdahan
Kupikirkan kontot



Eh, aku pulak
Kah kah

Wednesday, 24 March 2010

Dusun untuk dijual


Kalau nak masukkan "dusun durian" dalam wishlist untuk hadiah hari jadi, over ke, ek?
KOG = hantu durian = Opet?

Tuesday, 23 March 2010

Asma tiruan

Klik untuk kenal Asma yang asli


Isi rojak:
Paru - rebus hingga lembut
Fishball, fishcake, crab stick
Telur rebus
- Bancuh tepung dengan air (macam nak buat goreng pisang), celup bahan-bahan dengan tepung dan goreng garing

Kentang rebus
Timun hiris
Daun salad
Lada hijau

Boleh juga letak tahu dan tempe goreng, sengkuang, jemput-jemput tauge, sotong kembang celur

Kuah rojak:
Biskut marie [ini sebab dia dinamakan tiruan, resepi yang betul guna keledek!]
Udang kering
Kacang tanah
Bawang putih
Bawang merah
Kismis
Lada kisar
- Kisar semua bahan... lada memang dah siap kisar dari kedai ;)

Air asam jawa, gula, garam

- Panaskan minyak, tumis bawang, lada dan kismis hingga wangi
- Masukkan bahan-bahan lain dengan air asam dan perasa
- Masak sampai pekat

Cubaan membuat tepung goreng (macam mamak tu) yang sangat gagal dan memalukan, kih kih

Psst: Kalau ada yang rasa resepi ni mencurigakan dan macam tak berapa boleh dipercayai, saya syorkan cari resepi yang lebih tepat dengan sukatan dan tidak disertakan dengan gambar-gambar cubaan yang gagal. Hehe.

Friday, 19 March 2010

Mi racun


Mi racun

Mi racun ni produk istimewa dari Batu Pahat sejak tahun 1970-an lagi. Buat dari kuah tomato dan sup kambing, rasa dia sikit-sikit macam kombinasi mi bandung dan mi rebus,tapi lebih tomato-ey. Saya agak mi ni dapat nama "racun" sebab dia pedasss gila, siapa tak tahan memang rasa macam termakan racun. Kot. Masa kecik-kecik dulu menjejes air liur je la tengok orang makan sebab tak tahan pedas. Rasa sesudu pun dah nak nangis. Sekarang steady je. [Catz, ko takyah try].

Dulu-dulu kedai yang sedap kat Jalan Sultanah. Sekarang dia dah pindah ke Jalan Rotan Tunggal, Taman Seri Jaya. Sila carik.

Thursday, 18 March 2010

Kerepek Parit Raja

Bangunan Mara
Pekan Parit Raja, Batu Pahat
[Malas nak letak poskod sebab kejap lagi ada orang mengaku Parit Raja tu dalam daerah Kluang pulak :p]

Ezad Anim ni kedai favourite kami sebab kroni tokey dia bekas anak murid bapak saya

Tapi mana-mana dalam bangunan tu pun penuh dengan kerepek yang pelbagai matneka dan harga pun lebih kurang

Ni pesen ambik gambor malas turun dari kereta, boleh?

Lagi cerita kerepek di sini

Wednesday, 17 March 2010

Ubat


Jaga kebersihan makanan supaya tak kena cirit birit dan kena makan ubat ini

Kalau tak nak melalui kesengsaraan sakit perut, tapi ada curious nak tahu rasanya macam mana, pergi la keruk plaster dinding dan bancuh dengan air... nyum :|

Tuesday, 16 March 2010

Getah zero point

Dulu pernah minum cendol pulut-rubberband

Rupa-rupanya makanan perisa getah makin in sekarang
Ni jumpa dalam bubur nasi pulak, bagi memenuhi gaya pemakanan gizi seimbang

Monday, 15 March 2010

Ali Asam Pedas


Ali Asam Pedas
4A, Jalan Syahbandar,
Batu Pahat, Johor
(eh nak poskod ke, ada sesiapa nak tulis surat kat Ali ke?)
012-7299858

Ingatkan nak la kasi direction, tapi Jalan Syahbandar ni punya la kat ceruk tepi sungai, sampai saya yang memang orang sini pun terbelit tangan nak putar stereng. Sesiapa yang rasa nak cari restoran ni gi la google sendiri peta dia atau tanya kawan-kawan. Berguna sungguh blog makan ni kan. Hehe.

Tapi dia ada satu lagi cawangan kat Jalan Tanjong Laboh. Ahaaa, tu senang sikit. Dari bandar Batu Pahat, lalu roundabout menghala ke Pontian, lepas kubur Bukit Cermai sebelah kiri, ada trafik light. Lepas trafik light, belah kanan ada kedai kereta, lepas tu kedai perabot terpakai. Lepas tu start la jenguk-jenguk ke kanan, kedai dia tepi jalan besar. Jangan terlepas.

Merah, pekat, menawan

Sayur campur, supaya orang tak kata saya "makan tak sihat"

Ayam goreng rempah untuk budak kecik yang tak reti makan ikan... sedap ni!

Jemput, jemput...

Semua ni campur lauk-lauk tapau pulak (sotong, ikan, nasi lagi) dalam RM25

Masa nak bayar, tengok kat kaunter ada gambar Almarhum Sultan Ibrahim
Fuhh, klasik... Naik markah kedai ni 5 poin!

Lepas tu boleh jalan-jalan belakang kedai tengok Sungai Batu Pahat yang err... tak berapa nak jernih ni. Hehe. Tapi angin sedap lah.

Lupa, kita orang makan ni untuk sarapan tau, bukan makan tengah hari, hehe. Semangat?
Restoran dia bukak dari 7 pagi sampai ke petang. Sekian.

Update koordinat:
E 102 degree 55' 29.3"
N 01 degree 50' 48.5"